Wednesday, December 7, 2011

Awal Muharram : Sejarah, Peristiwa, Iktibar dan Hikmah di sebalik sambutannya

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


للهم صل على محمد وآل محم


Assalamualaikum.


Sejarah Taqwim / Kalendar Hijrah 


Kalendar Tahun Hijrah / Hijriah adalah hasil dari ilham Khalifah Ar-Rasyidin yang kedua iaitu Saiyidina Umar Al-Khattab radhiyallahu `anhu. 


Di kalangan bangsa Arab sendiripun ada berbagai-bagai kalendar yang digunakan seperti Kalendar Tahun Gajah, Kalendar Persia, Kalendar Romawi dan kalendar-kalendar lain yang berasal dari tahun peristiwa-peristiwa besar Jahiliah. Maka Umar telah memilih tahun yang terdapat di dalamnya peristiwa paling agung dalam sejarah Rasullullah s.a.w untuk dijadikan asas permulaan tahun pertama bagi kiraan kalendar / taqwim Islam.


Peristiwa tersebut adalah peristiwa hijrah Rasullullah saw dari Makkah ke Madinah. Ini adalah kerana dengan hijrah inilah permulaan pertolongan Allah kepada RasulNya dan agama Islam ditegakkan. Hasil dari itu, Kesatuan Arab lebih sistematik, bersatu dan tersusun serta mendapat berbagai-bagai kejayaan besar dan bertambah kuat hasil dari pilihan Umar itu. (Semoga kampung kita juga boleh mencapai kejayaan kejayaan yang besar).


Di antara kejayaan besar Islam waktu itu ialah kerajaan Kisra dapat ditumbangkan, Baitul Muqaddis dibebaskan dari Rom dan Masjidil Aqsa dibangunkan. Setelah Umar membandingkan kalendar tersebut dengan kalendar-kalendar Persia dan Romawi, didapati bahawa kalendar ini ternyata lebih baik. Maka dengan itu Umar mengisytiharkan Kalendar Tahun Hijrah adalah Kalendar / Taqwim Islam yang rasmi.


Peristiwa Peristiwa Di Bulan Muharram


Muharam adalah bulan yang banyak mencatatkan peristiwa-peristiwa besar dalam sejarah Islam. Nabi-nabi terdahulu sebelum Rasulullah s.a.w mengalami berbagai peristiwa manis terutama pada 10 Muharam yang kita kenali sebagai hari Asyura


Keistimewaan Asyura itu terbukti apabila baginda Rasulullah s.a.w sendiri meraikan ketibaannya dengan berpuasa. Malahan ia telah menjadi satu sunnah yang digalakkan kepada umat Islam.


Bubur Asyura



Diceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada ‘Hari Asyura’. Sesampainya di daratan Nabi Nuh as. bertanya kepada pada umatnya “Masih adakah bekalan pelayaran yang tinggal untuk dimakan?” kemudian mereka menjawab “Ada ya Nabi”. 


Berkatalah Baginda pada pengikutnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh as.: “Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”. 


Maka terciptalah satu santapan yang lazat. Itulah Bubur ‘Asyura’. Kemudian Nabi Nuh as. memerintahkan untuk diagih-agihkan kepada semua yang ada.
 .
Berdasarkan kepada kisah inilah kita mengenali Bubur Asyura, iaitu bubur yang dibuat untuk menghormati ‘Hari Asyura’ yang diterjemahkan menjadi ‘bubur untuk kesejahteraan’. Bubur Asyura merupakan perlambangan rasa syukur manusia atas keselamatan yang selama ini diberikan oleh Allah SWT.'



Harapan Nabi s.a.w


Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada ibnu Abbas katanya: “Nabi datang ke Madinah dan melihat orang Yahudi berpuasa pada 10 Muharram. Nabi bertanya: “Mengapa mereka berpuasa? Mereka menjawab, “Suatu hari yang baik, Allah melepaskan pada hari itu Musa dan Bani Israel daripada musuh-musuh mereka, lalu Musa berpuasa pada hari itu.”


Mendengar jawapan itu Rasulullah s.a.w bersabda: “Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kamu. Rasulullah s.a.w berpuasa serta menyuruh para sahabat berpuasa.”


Dari rentetan sejarah yang berlaku sepanjang zaman hingga ke hari ini, 10 Muharam pasti diwarnai sejarah. 


Sungguhpun tarikh 10 Muharram hanyalah satu hari seperti datang dan berlalunya hari hari biasa, peristiwa besar yang berlaku pada tarikh tersebut perlu dijadikan bahan renungan dan iktibar.


Perjuangan Rasulullah s.a.w untuk menegakkan agama dan syariat Islam sedang dijalankan oleh ulamak ulamak, para pendidik, ahli dakwah, mujahid dan kita sendiri pada hari ini. Kita semua pasti begitu sensitif dengan sejarah yang lalu, dan sedang berjuang untuk mengembalikan keunggulan Islam. Dan Muharram adalah bulan yang dinanti oleh para pejuang.


Amalan pada 10 Muharram



Pada hari Asyura, disunatkan bersolat empat (4) raka’at dengan dua salam


Niat solat Asyura:















'Bacaan selepas Al-fatihah:


Rakaat pertama: Surah Al-Ikhlas 11 kali


Rakaat kedua: Surah Al-Ikhlas 11 kali.


Pada rakaat ketiga dan keempat, selepas membaca surah al-Fatihah, dibaca lagi surah Al-Ikhlas sebanyak 11 kali.


Selepas salam membaca 70 kali kalimat hasbiyallah:



Fadhilat Doa Asyura:


Sesiapa yang membaca zikir dan doa di bawah, maka Allah tidak mematikannya pada tahun itu tetapi jika ajalnya sampai pada tahun tersebut, 
tidaklah ia diberi taufik untuk membacanya.


Rasulullah SAW bersabda: “Lima waktu tidak ditolak sesuatu doa itu iaitu pada malam Jumaat, malam 10 Muharam, malam Nisfu Syaaban, malam Aidilfitri dan malam Aidiladha.”   


(Riwayat Bukhari dan Muslim)







Bagaimana Allah Menyempurnakan RahmatNya kepada hamba hambaNya


Dalam bulan Muharram:



Sahabat bertanya, “Ya Rasulullah, benarkah Allah telah melebihkan hari Asyura dengan menjadikan bukit dan lain-lain lagi?” Jawab Rasulullah, 


“Benar, Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Asyura, menjadikan bukit-bukit pada hari Asyura, menjadikan laut pada hari Asyura, 


menjadikan Luh Mahfuz dan Qalam pada hari Asyura juga menjadikan Adam dan Hawa pada hari Asyura, menjadikan syurga dan neraka serta 


memasukkan Adam ke syurga pada hari Asyura, Allah menyelamatkannya dari api pada hari Asyura dan menyembuhkan penyakit nabi Ayub. 


Pada hari Asyura juga Allah menerima taubat nabi Adam dan diampunkan dosa nabi Daud, juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari 


Asyura.”


Pada hari Asyura tersebut, kita juga perlulah mengenang suatu peristiwa yang amat menyayatkan hati  iaitu peristiwa syahidnya Husain bin Ali, cucu junjungan besar kita Nabi Muhammad.






Allah menerima taubat Nabi Adam a.s hingga ia bersih dari segala dosa dan kesilapan.



Allah menyelamatkan Nabi Ibrahim dari kekejaman Raja Namrud yang membakarnya hidup-hidup, namun apabila api telah padam Nabi Ibrahim keluar dengan sihat tidak terbakar sedikitpun.


Di bulan bersejarah ini juga Allah mengeluarkan Nabi Yusuf a.s dari dalam penjara setelah meringkuk selama beberapa tahun akibat fitnah Zulaikha isteri kepada pembesar Mesir.


Juga Allah menyelamatkan Nabi Nuh a.s beserta para pengikutnya setelah terapung-apung di atas banjir besar yang melanda dunia selama enam bulan di bulan Muharam.


Allah memulihkan penglihatan Nabi Yaakub a.s. setelah buta beberapa lama akibat banyak menangisi anaknya (Nabi Yusuf a.s) yang hilang.


Nabi Yunus a.s. keluar dari dalam perut ikan setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.Allah menyelamatkan Nabi Yunus a.s setelah  ia banyak berzikir di dalam perut ikan itu.


Nabi Ayub a.s juga Allah sembuhkan dari penyakit  yang lama dideritainya.


Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s dari dikejar oleh Firaun dan bala tenteranya.


Nabi Musa a.s terperangkap di tepi Laut Merah. Allah membelah laut itu hingga terjadi jalan raya di dasar laut. Nabi Musa a.s selamat sampai ke seberang sementara Firaun dan pengikutnya yang mengejar dari belakang terperangkap apabila ia berada di tengah jalan, lalu laut pun bercantum semula. Maka matilah Firaun beserta semua bala tenteranya.


Di bulan ini jugalah Allah mengurniakan kerajaan yang besar kepada Nabi Sulaiman a.s.


Allah mengangkat Nabi Isa a.s ke langit sewaktu dikejar oleh puak pelampau Yahudi yang ingin membunuhnya.


Marilah kita jadikan bulan Muharram sebagai ukuran perjuangan kita dalam memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat Islam demi menegakkan syariat Allah ini. Di samping itu kita doakan kemenangan dan keselamatan dari Allah dalam masa kita melaksanakannya.


Hikmah Bulan Muharram


Bulan Muharram menyeru kita untuk memperbaiki diri, membasuh dosa kita dengan taubat, membina hidup baru, berhijrah ke arah kebaikan/amalan soleh, merealisasikan cita cita kita dengan cara spesifik dan bersungguh sungguh.


Cara ini meruntuhkan ego kita, melunakkan hati kita, meningkatkan iman kita, memupuk sifat sabar, menjadikan kita bersyukur, mendekatkan kita kepada akhirat dan membuktikan cinta kita kepada Pencipta kita.


Iktibar Bulan Muharram


Kita boleh mengambil kisah hidup para rasul yang banyak melalui penderitaan sepanjang mengajak manusia kepada Allah. Ini ialah peraturan Allah. Perjuangan menegakkan kebenaran tidak menempuh jalan mudah. Miskin harta/penyokong dan ramai penentang ialah lumrah. 


Kesenangan dan kemewahan bukanlah kayu pengukur bagi kemuliaan dan kebenaran.


Para rasul yang mulia itulah orang yang paling sengsara dalam hidup.


Nabi Sulaiman a.s yang Allah SWT kurniakan kerajaan langit dan bumi, pun begitu ketika para pembesar sedang menikmati jamuan enak, beliau secara senyap-senyap menyelinap ke bilik lalu memakan roti beserta air kosong.


Musuh kebenaran adakalanya datang dari golongan yang tidak disangka-sangka. Hasad dengki juga boleh datang dari kalangan adik beradik seperti yang dialami oleh Qabil terhadap Habil dan Nabi Yusuf oleh abang-abangnya, Nabi Noh oleh adiknya sendiri dan Nabi Isa dari kalangan sahabat setia.


Kita perlukan sifat sabar, pintar dan kaya maklumat untuk menghadapi cabaran di zaman ini.


Para Rasul yang telah melalui peristiwa besar Muharam, pastilah memiliki keimanan yang paling kental, sehingga ada yang tergolong dalam Rasul yang Ulul Azmi, sesuai dengan cobaan dan ujian yang mereka hadapi.


Saad bin Abi Waqqash berkata, “Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w, ‘Ya Rasulullah, siapakah orang yang paling berat ujian dan cobaannya?’ 


Nabi s.a.w menjawab, ‘Para nabi, kemudian yang menyerupai mereka, dan yang menyerupai mereka. Seseorang diuji menurut kadar agamanya. Kalau agamanya tipis (lemah), dia diuji sesuai dengan itu (ringan); dan bila imannya kokoh, dia diuji sesuai itu (keras). Seorang diuji terus-menerus sehingga dia berjalan di muka bumi bersih dari dosa-dosa’.” (HR Bukhari)


Di akhir zaman, para pejuang yang bersungguh-sungguh mahu berjuang membangunkan Islam, perlu mencontohi keimanan yang dimiliki para Rasul terdahulu, walaupun tidak mungkin dapat menyamainya. Mereka itu memiliki iman yang ajaib, hingga Rasulullah pernah bertanya kepada para sahabat:


 أي الخلق أعجب إليكم إيمانا ؟ قالوا : الملائكة ، قال : و ما لهم لا يؤمنون و هم عند ربهم عز و جل ؟ قالوا : فالنبيون ، قال : و ما لهم لا يؤمنون و الوحي ينزل عليهم ؟ قالوا : فنحن ، قال : و ما لكم لا 


تؤمنون و أنا بين أظهركم ؟ قال : فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم : ألا إن أعجب الخلق إلى إيمانا لقوم يكونون من بعدكم يجدون صحفا فيها كتاب يؤمنون بما فيها


Makhluq apakah yang paling menakjubkan kamu keimanannya?


Mereka (para sahabat) berkata: Malaikat.


Maka Rasulullah berkata: Bagaimana pula mereka tidak beriman sedangkan berada di sisi Tuhan Azza Wa Jalla.


Mereka (para sahabat) berkata: Para Nabi.


Rasulullah berkata: Bagaimana pula mereka tidak beriman sedangkan wahyu turun ke atas mereka.


Mereka (para sahabat) berkata: Maka kami.


Rasulullah berkata: Mengapa pula kamu tidak beriman sedangkan saya berada di hadapan kamu.


Mereka (para sahabat) berkata: Siapa mereka?


Jawab Rasululah s.a.w: Ketahuilah sesungguhnya yang paling menakjubkan (ajaib) kepada saya keimanannya ialah sungguh suatu kaum yang mereka itu adalah selepas kamu, mereka mendapati helai-helai kitab (Al-Quran) kemudian mereka beramal dengan apa yang ada di dalamnya.


(HR al-Bazzar, Musnad no 7294, al-Baihaqi, Dala`il al-Nubuwwah, al-Khatib al-Baghdadi dalam Syaraf ashabul Hadith dan al-Laalakai dalam syarh Usyul al-Sunnah.)


Bagi memahami siapakah yang disebut Rasulullah s.a.w “suatu kaum yang mereka itu adalah selepas kamu”, tersurat di dalam sebuah hadis menyebut tentang umat yang terkemudian itu,


 قَالَ تَغَدَّيْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَمَعَنَا أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ قَالَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَلْ أَحَدٌ خَيْرٌ مِنَّا أَسْلَمْنَا مَعَكَ وَجَاهَدْنَا مَعَكَ قَالَ نَعَمْ قَوْمٌ يَكُونُونَ مِنْ بَعْدِكُمْ يُؤْمِنُونَ بِي وَلَمْ يَرَوْنِي


“Suatu saat kami pernah makan siang bersama Rasulullah s.a.w dan ketika itu ada Abu Ubaidah bin Jarrah r.a yang bertanya,


 “Wahai Rasulullah, adakah ada orang yang lebih baik dari kami? Kami memeluk Islam dan berjihad bersama Engkau?” Beliau s.a.w menjawab, “Ya, ada iaitu kaum yang akan datang setelah kalian, yang beriman kepadaku padahal mereka tidak melihat aku.”


(Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad Ahmad juz 4 hal 106 hadis no 17017 tahqiq Syaikh Syu’aib Al Arnauth dimana beliau berkata hadis ini shahih.)


Diriwayatkan pula oleh Abu Umamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda :


طوبى لمن رءانى و ءامن بى وطوبى سبع مرات لمن لم يرنى وءامن بى


“Berbahagialah orang yang melihatku dan beriman kepadaku, dan berbahagialah tujuh kali bahagia orang yang tidak melihatku walhal ia beriman kepadaku.”


Doa warga Masjid Al Nuriah ini supaya kita benar benar dapat memahami rahsia di sebalik bulan Muharram dan bersatu hati menegakkan syariat Allah. Diharapkan maklumat ini memberi manfaat dan berkesan di hati kita semua.


Amin.


Selawat dan Salam kepada Rasulullah s.a.w.


والسلام علبكم و رحمة الله و بركات


Rujukan:


Ust. Mohd Fadli Yusof. www.facebook.com.
http://www.kalendarhijrah.com/
http://ms.wikipedia.org/wiki/Takwim_Hijrah
http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/12/06/amalan-memasak-bubur-asyura/
http://ismamesir.com/v2/2011/12/ada-apa-dengan-10-muharram/